MELAKA, 29 Januari - Polis Melaka berjaya merampas pelbagai jenis dadah serta sitaan harta bernilai RM612,321.
Pemangku Ketua Polis Melaka SAC Datuk Md Nazri Zawawi berkata, turut ditahan tiga beranak yang kesemuanya lelaki berusia 49 hingga 17 tahun.
Katanya, pada 26 Januari lalu Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah membuat serbuan di sebuah kediaman di kawasan Muar, Johor yang dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan tahun lepas di sekitar kawasan Muar serta Jasin.
Dadah yang dirampas ialah heroin, syabu, pil eramin termasuk sebuah kereta, barang kemas dan wang tunai.
Katanya, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 442,860 penagih.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua individu negatif dan semakan rekod mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau serta narkotik.
Dengan penahanan kesemua ini, polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Jasin dan Muar.
Permohonan reman ke atas semua bermula 27 Januari hingga 2 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.