TELUK INTAN, 29 Januari – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun membabitkan seorang wanita warga emas dalam kejadian di sini, pada Selasa.
Mangsa berusia 65 tahun itu disamun ketika sedang bekerja menjual kalung bunga di hadapan rumahnya sekitar pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Ahmad Adnan Basri berkata suspek pada mulanya berpura-pura sebagai pelanggan dengan meminta mangsa membuat kalungan bunga.
“Semasa mangsa sedang membuat kalungan bunga, suspek menghampiri dari arah belakang sebelum meragut seutas rantai emas. Mangsa menjerit meminta tolong, menyebabkan anaknya terdengar dan cuba membantu, namun suspek sempat melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher, serta luka di tangan, kaki, dan pinggul akibat kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muzlifah Azmi di talian 011-21858926 atau Balai Polis Teluk Intan di 05-6292222.