KUALA LUMPUR, 30 Januari - Dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan yang dipandu secara berbahaya dalam insiden berhampiran sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata kejadian itu dilaporkan oleh seorang lelaki berusia 24 tahun yang menyaksikan insiden tersebut.
"Hasil siasatan awal mendapati dua kenderaan jenis trak pikap dan sedan telah keluar dari kawasan parkir pusat hiburan berkenaan sebelum melanggar sekumpulan lelaki.
"Akibat rempuhan itu, dua individu mengalami kecederaan dan salah seorang telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, setakat ini tiada mangsa tampil membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun, pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Kami menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau hadir ke balai polis terdekat," katanya.
Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 48 saat di media sosial yang menunjukkan dua kenderaan terbabit bertindak merempuh sekumpulan lelaki dengan sengaja di lokasi kejadian.