fb fb fb fb fb

30 individu ditahan seludup imigran di pantai Sungai Pulai

Foto hiasan

SELANGOR, 16 November - Cubaan penyeludupan imigran di kawasan persisiran pantai Sungai Pulai berjaya dipatahkan pasukan polis Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran - ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Pahlawan Shazeli Datuk Kahar dalam satu kenyataan memaklumkan, sebuah bot kayu jenis 'pom pom' tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan dipintas sebelum tekong bot diarahkan berhenti.

"Seramai 30 orang bukan warganegara yang terdiri daripada 21 lelaki dan 9 perempuan berumur antara 21 hingga 49 tahun berjaya ditahan.

"Dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan tersebut berjaya dirampas," menurut kenyataan itu.

Operasi yang dijalankan sekitar pukul 12.15 pagi itu turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sabak Bernam dan anggota Balai Polis Sungai Besar.

Kes disiasat bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Dalam pada itu, polis Selangor juga akan terus mempergiat risikan serta operasi bersama agensi berkaitan bagi mengekang jenayah rentas sempadan demi keselamatan dan kedaulatan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI