SUBANG JAYA, 16 November - Sebanyak 56 saman dikeluarkan manakala lima penunggang ditahan dalam Op Motorsikal di Plaza Tol Batu 13, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor.
Menurutnya operasi bermula pada 11.30 malam itu melibatkan 11 pegawai kanan dan 107 pegawai rendah polis.
"Sebanyak 120 individu dan 115 motosikal diperiksa sepanjang operasi.
“Seorang penunggang dikesan menunggang di bawah pengaruh alkohol dan empat lagi ditahan kerana menunggang secara melulu dan berbahaya di bawah Seksyen 45A(1) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, polis turut menyita 14 motosikal atas kesalahan ubah suai kenderaan dan tidak memiliki lesen memandu sah.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.