SARATOK, 16 November - Seorang lelaki di Roban, Saratok ditahan polis semalam kerana didakwa cuba mencabul anak tirinya pada Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew Manggie, suspek berumur 55 tahun, berasal dari Indonesia didakwa cuba melakukan perbuatan itu sebanyak dua kali terhadap mangsa yang berumur 16 tahun.
"Mangsa mendakwa, suspek cuba mencabulnya di dalam bilik pada 12 Oktober lepas, namun gagal. Suspek sekali lagi cuba melakukan perkara sama dan mangsa berjaya melepaskan diri.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas mendapat nasihat daripada bapa kandungnya," katanya ketika dihubungi RTM.
Hasil siasatan lanjut, polis menemui mesej dan rakaman suara berbaur seksual dihantar suspek kepada mangsa menerusi aplikasi sembang. Setakat ini, tiada pengakuan direkodkan daripada suspek.
Suspek akan disiasat bawah seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 11 (1) akta sama.