KOTA BAHRU, 11 Januari - Tiga beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Machang pada 27 Januari 2020.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohd Rizal Seman, 40 tahun, adiknya Muhamad Zarudin, 30, dan Mohd Azam, 26.
Menerusi alasan penghakiman, Datuk Mohamad Abazafree berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor.
Beliau berkata, antara faktor tersebut adalah mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mana ianya sangat penting bagi membolehkan mahkamah mengetahui perjalanan cerita kes berkenaan.
Katanya, saksi utama yang juga adik ipar si mati telah membuat kenyataan bercanggah ketika pemeriksaan balas dilakukan oleh peguambela.
Selain itu, katanya, tiada saksi lain dikemukakan bagi menunjukkan ketiga-tiga tertuduh adalah satu kumpulan yang menyertai perhimpunan haram.
Oleh itu, mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas dan seorang sudah meninggal dunia didakwa membunuh Kamsani Mohamed, 39 tahun di Stesen Minyak Shell, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai, antara 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi, pada 27 Januari 2020.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan dan Nik Nur Adilla Nik Sauki