fb fb fb fb fb

Tiga anggota imigresen ditahan, terlibat sindiket bawa masuk warga asing

Tiga anggota imigresen Malaysia masing-masing berumur lingkungan 40-an direman selama tujuh hari hingga 21 April

KUANTAN, 15 April- Tiga anggota imigresen Malaysia yang menjadi sindiket membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara bermula tahun 2021 hingga 2024; ditahan di Kuala Lumpur, Nilai dan Johor Bahru, semalam.

Sindiket berkenaan dipercayai telah meraih wang rasuah lebih RM10 juta yang turut diagihkan kepada anggota imigresen lain.

Anggota imigresen itu menjadi ‘tali barut’ bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi 'counter setting' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2.

Ketiga-tiga mereka yang ditahan berumur lingkungan 40-an direman selama tujuh hari hingga 21 April depan.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI