fb fb fb fb fb

Kerani wanita rugi lebih RM1 juta, terpedaya pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

KUANTAN, 15 April- Seorang kerani wanita berusia 56 tahun kerugian lebih RM1.06 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud melalui Facebook, pada 17 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wang simpanan peribadi, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta pinjaman bank lebur akibat pelaburan itu.

"Mangsa berminat dan menekan pautan iklan sebelum menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek.

"Mangsa diarah memuat turun satu aplikasi pelaburan dalam saham tempatan dan Amerika Syarikat," menurut Yahaya Othman.

Bagaimanapun wanita itu kemudian dihubungi menerusi nombor WhatsApp lain yang mendakwa sebagai khidmat pelanggan dan meminta mangsa untuk membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan.

Mangsa yang terpedaya telah melakukan 18 pindahan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza, antara 12 Februari hingga 26 Mac lalu.

Namun mangsa yang hanya menerima pulangan RM20,000 mula menyedari ditipu dan melaporkannya kepada pihak polis, semalam.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI