RAUB, 15 April - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) Wilson Chang susulan tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub, minggu lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang merakam keterangan kedua-dua individu tersebut, selepas ditahan petang semalam, sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya.
Menurut beliau, pemimpin DAP itu dan Wilson hadir ke Balai Polis Raub pada 3.30 petang sebelum proses rakaman percakapan, serta soal siasat dijalankan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, sekiranya siasatan dapat dilengkapkan segera, tiada permohonan reman akan dibuat dan mereka akan dibebaskan.
Sementara itu katanya, sebanyak 28 laporan diterima berkaitan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Raub, setakat ini.
Laporan berkenaan diterima dari seluruh negara, termasuk daripada pekebun, individu serta badan bukan kerajaan (NGO); yang kebanyakannya menyatakan sokongan terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil kerajaan negeri terhadap kebun durian tidak berlesen.