fb fb fb fb fb

Tetak ibu saudara: Operator kilang didakwa , prosiding dijalankan di hospital

Prosiding kes dijalankan di hospital berikutan tertuduh, Ong Kok Bu sedang menerima rawatan akibat patah kaki.

GEORGE TOWN, 22 Disember- Seorang operator kilang yang bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang pada Selasa lalu
selepas menetak seorang wanita sehingga mati didakwa di sini pada Jumaat.

Pertuduhan terhadap Ong Kok Bu, 29 tahun yang merupakan seorang operator kilang itu dijalankan di Wad C2, Jabatan Ortopedik, Hospital Pulau Pinang pada jam 12.50 tengah hari oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Prosiding kes dijalankan di hospital berikutan dia sedang menerima rawatan akibat patah kaki.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Lee Yen Suan, 42, di hadapan sebuah premis di Jalan Taman Sin Tat, Butterworth, pada jam 10.55 pagi pada 19 Disember lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada jaminan ditawarkan kerana Mahkamah Majistret tiada kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh.

Kes ditangguh sehingga 25 Mac depan untuk laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Sebelum ini dilaporkan wanita yang maut ditetak dengan parang di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda di sini, adalah ibu saudara kepada suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, kejadian bermotifkan cemburu dan suspek direman selama enam hari sehingga 26 Disember ini bagi membantu siasatan.

Mangsa yang juga penjual pakaian itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah serta terbaring di atas jalan sebelum orang awam memaklumkan kejadian berkenaan kepada polis.

Manakala suspek pula dikatakan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah itu namun berjaya diselamatkan nelayan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI