fb fb fb fb fb

Tertipu pelaburan di Facebook, jurutera rugi RM275,000

Tertipu pelaburan di Facebook, jurutera rugi RM275,000 / Foto Hiasan

ALOR SETAR, 29 Jun – Seorang jurutera berusia 57 tahun kerugian sebanyak RM275,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata mangsa dipercayai terpedaya dengan tawaran pulangan pelaburan sebanyak 10 peratus, seperti yang dijanjikan dalam iklan berkenaan.

“Mangsa mula berminat selepas melihat iklan tersebut pada 20 April lalu dan menekan pautan yang disediakan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa telah berhubung dengan beberapa individu melalui dua nombor telefon yang berbeza sebelum membuat lapan transaksi wang ke dalam dua akaun syarikat berbeza dari 27 Mei hingga 13 Jun.

Walau bagaimanapun, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa mendapati tiada sebarang pulangan diterima seperti yang dijanjikan.

Sebaliknya, individu yang berhubung dengan mangsa terus meminta wang tambahan kononnya untuk mendapatkan semula modal dan keuntungan.

Berasa curiga dan menyedari telah ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, semalam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN