KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Kehilangan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) sejak sembilan bulan lalu terus menjadi misteri apabila tiada sebarang petunjuk baharu berjaya diperoleh sehingga kini.
Mangsa, Erma Fatima Shamsul Bahari, 18 tahun, yang tergolong dalam kategori OKU lembam, dilaporkan hilang pada 25 Oktober tahun lalu selepas ke tandas di sebuah restoran di Batu Buruk, namun tidak kembali ke meja makan bersama keluarganya.
Menurut bapa mangsa, Shamsul Bahri Abu Bakar usaha mencari anak perempuannya masih buntu walaupun pelbagai ikhtiar telah dilakukan.
“Saya sedih, lama tak jumpa... sudah sembilan bulan. Saya minta-minta dia balik. Kalau ada sesiapa jumpa, tolong hantar dia balik,” katanya dalam nada sebak.
Ketika kejadian, mangsa hanya berpakaian biasa tanpa membawa dokumen pengenalan diri atau sebarang barangan peribadi.
Walaupun laporan polis telah dibuat dan pelbagai bentuk hebahan serta bantuan orang ramai telah diusahakan, sehingga kini tiada maklumat sahih diterima mengenai keberadaan remaja itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kehilangan mangsa diminta untuk segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan pencarian.