fb fb fb fb fb

Rangkaian militan warga Bangladesh tidak libatkan rakyat Malaysia

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Bernama

HULU TERENGGANU, 29 Jun – Tiada rakyat Malaysia dikenal pasti terlibat dalam rangkaian gerakan militan yang menyebarkan fahaman pelampau daesh, melibatkan warga Bangladesh, seperti yang didedahkan sebelum ini.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan hasil siasatan oleh Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kumpulan militan berkenaan hanya melibatkan warga Bangladesh, walaupun cuba membawa masuk fahaman tersebut ke dalam negara.

“Kejayaan ini mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kesiapsiagaan dan keupayaan perisikan negara. Sebahagiannya telah direman, ada yang sudah didakwa, dan sebahagiannya masih dalam proses siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi tahun 2025 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini.
 
Menurut Datuk Seri Saifuddin, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai aktiviti kumpulan terbabit, yang disifatkan sebagai berkait rapat dengan keganasan.

Sebelum ini, beliau mendedahkan 36 warga Bangladesh telah ditahan dalam satu siri operasi keselamatan terancang oleh PDRM di Selangor dan Johor yang bermula pada 24 April lalu, membabitkan tiga fasa berasingan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN