KUCHING, 30 Jun- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai barangan termasuk kayu balak, minuman keras, minyak diesel dan dadah jenis methamphetamine dalam empat operasi khas minggu lalu, dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM5.497 juta.
Komander PGA Briged Sarawak, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Dr. Che Ghazali Che Awang, dalam kenyataan memaklumkan, rampasan terbesar direkodkan menerusi Op Libas pada 24 Jun apabila 350 batang kayu balak pelbagai saiz ditemui di sebuah kawasan pembalakan haram di Sibu.
Sementara itu, Op Taring Alpha pada 23 Jun menyaksikan serbuan ke atas sebuah premis di Kuching dan berjaya merampas 32,736 liter minuman keras pelbagai jenama yang belum lulus cukai kastam.
Dalam Op Taring Bravo di Miri pada 25 Jun, PGA merampas 39,300 liter minyak diesel yang disimpan tanpa permit sah di sebuah lokasi penyimpanan.
39,300 liter minyak diesel tanpa permit sah ditemukan di sebuah lokasi penyimpanan di Miri
Manakala Op Taring Awas pada 28 Jun di Lundu, seorang lelaki ditahan bersama satu paket plastik lutsinar mengandungi 0.32 gram bahan disyaki dadah methamphetamine.
"Keseluruhan operasi tersebut turut menyaksikan 13 lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 57 tahun ditahan.
"Turut disita ialah mesin pemotong kayu, lori dan kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut," menurut SAC Dr. Che Ghazali.