fb fb fb fb fb

Penjawat awam didakwa anugerah tender projek kepada syarikat milik keluarga

Foto fail

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Seorang penjawat awam di Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa penilaian tender dan sebut harga kerja dengan menganugerahkan satu tender kepada ahli keluarganya sendiri.

Tertuduh didakwa mengesyorkan kepada Lembaga Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun untuk memberikan kerja 'Cadangan Membina dan Menyiapkan Pusat Pemuliharaan Kucing Terbiar' di Taman Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun itu kepada syarikat milik ibu dan bapanya sendiri pada Mei tujuh tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menggunakan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa penilaian tender dan sebut harga kerja untuk kepentingan peribadi.

Kertas pertuduhan telah dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya Addawiah Mohd Norlee di hadapan Hakim Tuan Mohd Azhar Othman.

Tertuduh, 41 tahun yang hadir bersama peguamnya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan melarang tertuduh untuk menganggu saksi-saksi pendakwaan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan arahan lapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

TETITIA YUSOFF