BESUT, 27 Jun- Dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut ditahan bagi membantu siasatan kes buli melibatkan seorang pelajar tingkatan dua.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima satu lagi laporan daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian yang sama.
Mangsa memaklumkan bahawa dia telah dibuli oleh pelajar-pelajar yang sama dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 11.30 malam, 24 Jun lalu di asrama putera MRSM Besut.
Mangsa mengalami kesakitan di bahagian kaki kanan dan kiri. Dua suspek, masing-masing berusia 15 tahun ditahan pada pukul 4 petang tadi selepas hadir bersama keluarga di IPD Besut.
Menurutnya, permohonan reman terhadap kedua-dua pelajar akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sebelum ini, lima pelajar lain berusia antara 15 hingga 17 tahun telah direman selama tiga hari bermula Jumaat selepas dipercayai terlibat dalam kejadian buli terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Jumaat.
Azamuddin berkata, kejadian dipercayai berlaku di asrama putera pada jam 11.30 malam, Selasa lalu dan disedari oleh warden bertugas. Mangsa mendakwa diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit.
Selain mendakwa turut ditumbuk di bahagian perut dan ditampar beberapa pelajar tingkatan tiga sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.