fb fb fb fb fb

Tertarik tawaran pelaburan tidak wujud, eksekutif rugi RM600,000

Gambar hiasan

BINTULU, 4 Julai – Teruja dengan tawaran pelaburan mata wang dalam talian, seorang eksekutif syarikat berusia lingkungan 60-an kerugian lebih RM600,000.

Mangsa dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan yang dipaparkan di sebuah laman sesawang sekitar awal Mac lalu sebelum diarahkan memuat turun aplikasi palsu menerusi pautan yang diberikan suspek.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat J.P. Morgan dan memperdayakan mangsa untuk membuat beberapa transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan.

“Keseluruhan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM600,000 dan mangsa hanya berjaya mengeluarkan RM441 daripada pelaburan tersebut.

“Mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta bayaran tambahan kononnya untuk proses pengeluaran keuntungan pelaburan, sebelum menyedari dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang bentuk tawaran pelaburan dalam talian, terutama yang disebarkan melalui media sosial atau laman sesawang meragukan.

“Buat semakan latar belakang syarikat terlebih dahulu dan elakkan memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan tidak rasmi. Gunakan aplikasi seperti Whoscall dan Check Scammers CCID serta layari http://semakmule.rmp.gov.my untuk menyemak nombor telefon dan akaun bank sebelum melakukan transaksi kewangan,” katanya.

Mancha turut menggesa orang ramai untuk mengikuti saluran rasmi media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM dan @CyberCrimeAlertRMP di Facebook, Instagram serta TikTok bagi mendapatkan maklumat serta modus operandi penipuan terkini.

GRACE AISYAH KEDAYAN