TELUK INTAN, 4 Julai - Polis Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan urus niaga buah sawit dalam operasi bersepadu terhadap 12 pusat jual beli sawit, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, susulan itu polis menahan 21 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut.
Kesemua individu yang ditahan bekerja sebagai kerani dan penyelia di pusat jual beli sawit dan peniaga jual beli buah sawit tanpa lesen.
Beberapa barang bukti dirampas termasuk 10 lesen perniagaan SSM, 12 lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), 13 set komputer, 17 resit jual beli sawit, 12 cop syarikat, 19 buku akaun, lima mesin pencetak, dua alat penimbang, 15 guni berisi buah kelapa sawit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
" Operasi bersepadu Op Helang Hilir Fasa 1 yang dilancarkan hasil risikan strategi yang dibuat dengan teliti. Fasa 2 akan diteruskan dan satu lagi operasi fasa 3 akan dilakukan. Apabila ketiga-tiga fasa ini lengkap, diharap akan berjaya menghapuskan aktiviti penjualan dan pembelian buah sawit secara haram " katanya.
Beliau menyatakannya di Ibu Pejabat PolisDaerah (IPD) Hilir Perak di Teluk Intan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman dan diberi jaminan polis sementara siasatan diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.