fb fb fb fb fb

Terperdaya skim pelaburan mata wang digital, wanita rugi RM190,000

Seorang petugas sebuah sekolah antarabangsa kerugian RM190,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan mata wang digital tidak wujud / Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 22 Julai - Seorang petugas sebuah sekolah antarabangsa kerugian RM190,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan mata wang digital tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Mohd Suhaimi Ishak berkata mangsa, seorang wanita berusia 50 tahun membuat laporan berkaitan kejadian pada Ahad selepas menyedari dirinya ditipu.

Wanita itu menyatakan mengetahui tentang skim itu setelah diperkenalkan oleh seorang lelaki tempatan dikenali menerusi laman sosial Instagram, yang menunjukkan cara melabur serta menerangkan graf keuntungan tinggi akan diperolehnya jika menyertai skim itu.

“Tertarik dengan tawaran suspek yang kononnya mangsa mampu hidup mewah hasil daripada pelaburan itu, mangsa telah memuat naik aplikasi pelaburan itu.

"Sepanjang tempoh antara 10 Jun hingga 16 Julai, mangsa telah melakukan enam transaksi pembayaran melalui aplikasi ‘Luno Malaysia’ membabitkan keseluruhan wang berjumlah RM190,000 untuk pembelian mata wang digital, seterusnya memindahkannya ke satu akaun lain menerusi aplikasi sama,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohd Suhaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN