fb fb fb fb fb

Rogol remaja, kelindan lori mengaku tidak bersalah

Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar, Johor atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang remaja, 13 tahun, April tahun lalu

MUAR, 22 Julai - Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar, Johor atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang remaja, 13 tahun, April tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizul Haziq Zulkefli, 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak bagi maksud seksual dan merogol mangsa pada April 2023, pukul 2 petang.

Kesalahan dilakukan di bilik tidur sebuah rumah di Kampung Renchong, Pagoh Muar, Johor. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Sama serta Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengesahan dokumen.

Hakim Abu Bakar turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN