fb fb fb fb fb

Reman suspek bunuh Nur Farah Kartini dilanjut tujuh hari

Suspek kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah dilanjutkan tujuh hari lagi untuk membantu siasatan/ Foto: BERNAMA

KUALA KUBU BAHRU, 22 Julai- Tempoh reman suspek kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah dilanjutkan tujuh hari lagi.

Perintah sambung reman bermula esok hingga 29 Julai ini dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini.

Lelaki berusia 26 tahun itu yang memakai baju lokap berwarna jingga dan bergari hadir dengan menaiki kereta polis pada 9.04 pagi.

Suspek sebelum ini direman tujuh hari sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang.

Susulan itu, suspek yang juga seorang anggota polis berpangkat lans koperal telah ditahan pada hari yang sama.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI