IPOH, 18 Januari- Seorang jurulatih selam kerugian lebih RM304,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan jual beli saham tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat dalam satu kenyataan berkata wanita tempatan berusia 32 tahun itu membuat laporan polis apabila menyedari dirinya telah tertipu.
"Pada 11 September 2024, ketika berada di rumah dan melayari laman Facebook pengadu telah berminat dengan satu iklan pelaburan membeli dan menjual saham.
Mangsa menekan pautan yang diberikan oleh suspek sebelum diminta membuka satu akaun di dalam aplikasi AE online," kata kenyataan itu.
Sebanyak 14 pindahan wang hasil simpanan dan pinjaman dari ahli keluarga serta rakan-rakan telah dibuat ke dalam dua akaun berbeza.
Pada 15 November 2024, mangsa menerima pulangan lebih RM7,000.
Mangsa kemudian menghubungi suspek untuk mendapatkan pulangan bagi transaksi yang lain namun suspek gagal dihubungi.
Semakan di beberapa laman sesawang mendapati pelaburan tersebut tidak wujud.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.