GEORGETOWN, 24 September - Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian jenis phone scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis hingga menyebabkan kerugian RM600,850.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan menerusi Ops Mule NSRC semalam yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Suspek yang juga peniaga itu merupakan salah seorang daripada pemilik akaun bank yang disyaki digunakan sindiket phone scam.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menyerahkan butiran akaun serta kad ATM miliknya kepada seorang lelaki tempatan melalui serahan tangan di kawasan Seberang Perai Tengah.
“Siasatan lanjut turut mendapati suspek menyerahkan akaun dan kad bank itu sekitar Ogos lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Facebook ketika membuat pinjaman wang dalam talian sebanyak RM500.
“Bagaimanapun suspek hanya menerima RM400 daripada pinjaman tersebut sebelum diarahkan membuat bayaran semula sebanyak RM100 setiap minggu,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika disabitkan.