KUALA NERUS, 25 September - Sebanyak 517 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi khas yang menyasarkan kenderaan perdagangan, dikeluarkan di Terengganu sejak awal bulan ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, terdapat peningkatan jumlah saman yang dikeluarkan bagi kesalahan kenderaan perdagangan melebihi muatan di negeri berkenaan.
Selain lori perdagangan yang menjadi fokus utama, turut diambil tindakan termasuk pelbagai jenis bas termasuk teksi, e-hailing dan lain-lain kenderaan yang memberi perkhidmatan kepada orang ramai.
Sehingga kini, sebanyak 4,267 kenderaan perdagangan telah diperiksa sepanjang operasi khas ini berlangsung.
Turut berjaya dikesan, kesalahan pemandu bawah umur yang tidak mempunyai lesen mengendalikan kenderaan perdagangan.
"Jadi dalam sepanjang operasi ini, kita ada berjumpa dengan satu isu melibatkan kenderaan dipandu oleh pemandu bawah umur jadi saya telah menyita kenderaan itu.
"Kami juda dapati terdapat trend di mana dalam kalangan pemilik-pemilik atau pengusaha-pengusaha ini, menggajikan pemandu-pemandu bawah umur ini yang tidak ada lesen," katanya.
Beliau menasihatkan agar semua semua penguasa mengambil berat keperluan lesen memandu, terutama kenderaan perdagangan.