KUALA LUMPUR, 24 September- Seramai 28 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan di beberapa pusat urut sekitar Puchong dan Kuala Lumpur yang menawarkan ‘perkhidmatan tambahan’ kepada pelanggan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu dan aduan awam, melibatkan 55 pegawai.
Jelas beliau, seramai 42 individu diperiksa, terdiri daripada dua lelaki dan 29 wanita warga asing serta 11 rakyat tempatan.
"Daripada jumlah itu, 28 warga asing berusia 21 hingga 35 tahun ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Jelas beliau, mereka terdiri daripada dua wanita Thailand, seorang lelaki dan tiga wanita China, lima wanita Myanmar, 12 wanita Indonesia, empat wanita Vietnam serta seorang lelaki India," katanya dalam kenyataan.
Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, tujuh saman (Borang 29) turut dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di premis ketika serbuan dilakukan.