KUCHING, 18 Disember - Seorang lelaki tergamak membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui reput di Tabuan Jaya, di sini pada Ahad lalu gara-gara terdesak memerlukan wang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek, 23 tahun membuat pengakuan itu kerana memerlukan perbelanjaan untuk menyaksikan perlawanan Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu.
"Suspek mengaku mengambil barang kemas mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
“Selepas polis berjaya menahannya dan melakukan siasatan, suspek membuat pengakuan memang dia yang membunuh mangsa dan berdasarkan bukti diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai.
“Malah suspek juga menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita yang sudah reput baru-baru ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Krismas 2024 dan Hari Bertemu Pelanggan PDRM Kontinjen Sarawak di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.
Sembilan hari kemudian, mayat mangsa ditemui reput hari malah keluarga wanita terbabit juga tidak dapat mengecamnya.
"Semalam ketika pemeriksaan susulan di lokasi mayat mangsa iaitu di longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya, polis menemui beberapa bahan bukti baharu antaranya pakaian, gigi dan gumpalan rambut," tambahnya.
Tambah beliau, polis memerlukan sekurang-kurangnya lima hari lagi bagi mengesahkan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) sama ada mayat yang dijumpai di dalam longkang milik mangsa.
Pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan kehilangan seorang wanita, Nurul Asikin Lan, 26, selepas dia dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya.