JOHOR BAHRU, 18 Disember - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedili, membela diri atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM10,000 empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Zulfadli Nayan, 43 tahun .
Ketika keputusan dibacakan dan pilihan diberikan terhadap tertuduh, Peguam Mohd Fazaly Mohd Ghazaly memaklumkan anak guamnya memilih untuk meneruskan perbicaraan dengan memberikan keterangan secara bersumpah.
Pihaknya turut bercadang memanggil tujuh hingga lapan orang saksi pada prosiding pembelaan yang berlangsung selama tujuh hari bermula lapan Januari sehingga empat Mac depan.
Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Koordinasi dan Perhubungan Antarabangsa, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya mengaku tidak bersalah menerima suapan sebanyak RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat perkapalan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan Yahya Awang di sini pada pukul 10.00 malam, 2 Oktober 2020.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan siasatan ke atas kapal MT Singa Gangsa Milik Alamgala Resources Sendirian Berhad yang ditahan oleh KM Mulia, agensi Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili, pada 17 September 2020.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Zander Lim.