KUALA LUMPUR, 2 Disember - Dua wanita warga asing dijatuhi hukuman denda di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menawarkan perkhidmatan seks kepada dua anggota polis.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel dalam bilik berasingan di Jalan Pudu Dang Wangi pada 22 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya.
Tertuduh, Chiangmai Wilaiwan, 36 tahun dari Thailand didenda RM1,800.
Manakala Junita Ketaren, 33 tahun, warga Indonesia, dikenakan denda RM1,500.
Mahkamah turut memerintahkan Chiangmai dipenjara dua bulan, manakala Junita dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd melaporkan empat lokasi di Ibu Negara sudah dikenal pasti sebagai sarang pelacuran yang menawarkan khidmat seks pada harga murah.
Ini termasuk Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.