KUANTAN, 3 Disember-Kes jenayah komersil di Pahang menunjukkan penurunan dengan 2,038 kertas siasatan dibuka membabitkan nilai kerugian RM81 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berbanding tempoh sama tahun lepas, sebanyak 2,049 kertas siasatan dibuka iaitu penurunan sebanyak 7.8 peratus.
Menurut beliau, pihaknya telah melaksana sebanyak 1,605 tangkapan melibatkan kesalahan tipu, pinjaman wang along dan lain-lain kesalahan.
"Dalam tempoh yang sama sebelum ini RM87 juta, terdapat penurunan. Cuma saya nasihatkan kebanyakan kes-kes tipu ini adalah kerana scammer.
"Jadi saya minta mereka ataupun mangsa mangsa ini berwaspada. Itu yang penting selain itu dapat melaporkan dengan kadar segera untuk kita melaporkan kepada pihak NSRC supaya akaun-akaun mereka ini dapat kita bekukan dan kalau bernasib baik duit mereka dapat dipulangkan kembali", katanya demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 1,594 kertas siasatan dibuka termasuk 489 pertuduhan kes disiasat berdasarkan laporan National Scam Response Centre (NSRC).
Dalam pada itu, statistik kemalangan jalan raya di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 873 kes kepada 22,354 kes dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 21,481 kes tahun lepas dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, kemalangan maut mencatatkan penurunan iaitu 387 kes berbanding 411 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan pihaknya sedang mendapatkan perintah tahanan reman suami kepada bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.
Sebelum ini, tular apabila selebriti itu membuat kejutan apabila memuat dua gambar di Instagramnya dengan wajahnya yang lebam dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.