fb fb fb fb fb

Pasangan kekasih ditahan, dadah bernilai lebih RM60,000 dirampas

Superintenden Mohd Sohaimi Ishak (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 2 Disember – Sepasang kekasih yang dipercayai menjadi pengedar dadah aktif sejak September lalu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah teres di Seri Alam, di sini pada 28 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata pasangan berusia 27 dan 47 tahun itu mendapat bekalan dadah daripada pembekal di sekitar Johor Bahru.

“Pelbagai jenis dadah dirampas, yang dipercayai boleh digunakan oleh 5,392 penagih.

"Antara dadah yang dirampas ialah 474 gram ketamin bernilai RM41,000, 295 gram pil ekstasi bernilai RM14,750, 397 gram serbuk ekstasi bernilai RM3,000 dan 215 gram pil Erimin 5 bernilai RM4,300," katanya pada sidang media, di sini.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM63,050.

Hasil ujian mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman berat jika sabit kesalahan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN