KUCHING, 1 Disember-Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditemui meninggal dunia dengan kesan tetakan pada badan di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Tapang, Kuching awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam kenyataan media berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pukul 4.40 pagi.
Mangsa ditemukan terbaring di sebuah bilik di unit pangsapuri berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan pada badan.
Susulan itu, polis menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.