fb fb fb fb fb

Taktik sorok dadah dalam plastik kurier gagal, dua lelaki ditahan polis

FOTO POLIS KULIM

KULIM, 22 Januari- Tindakan dua lelaki menyorok bekalan dadah jenis ganja dalam bungkusan plastik kurier bagi mengelak dikesan pihak berkuasa gagal.

Dadah seberat 1,260 gram itu berjaya ditemui hasil serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sebuah rumah di Taman Merak, Kulim pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 22 dan 52 tahun itu ditahan selepas mereka didapati dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah bungkusan syarikat kurier mengandungi satu ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1,260 gram bernilai RM3,906,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki itu mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), manakala seorang lagi suspek negatif dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE