fb fb fb fb fb

KPDN Kedah sita 466 paket minyak masak bersubsidi dan 13 tong gas LPG tiada permit sah

FOTO KPDN KEDAH

KULIM, 22 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 466 kilogram minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi dan 13 tong gas cecair petroleum (LPG) yang disimpan tanpa permit yang sah.
 
Ia hasil serbuan yang dilakukan di dua buah premis berasingan di Kulim, Kedah, petang semalam.
 
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kedai runcit mendapati premis mempunyai lesen runcit yang masih sah bagi menjual barang kawalan berjadual dengan had simpanan lesen runcit bagi minyak masak adalah 1,000 kilogram.
 
Namun pemeriksaan lanjut di premis bersebelahan yang juga dimiliki oleh pemilik kedai runcit tersebut telah menjumpai sebanyak 370 paket 1 kilogram minyak masak bersubsidi di premis tersebut yang tiada dinyatakan dalam lesen runcit terdahulu sebagai tempat penyimpanan barang kawalan.
 
Kesemua minyak masak bersubsidi itu kemudiannya disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memindahkan barang kawalan iaitu minyak masak dari premis yang dilesenkan.
 
Dalam serbuan berasingan di sebuah restoran dan katering yang juga dimiliki oleh pemilik kedai runcit yang sama, KPDN telah menemui minyak masak paket bersubsidi berjumlah 96 kilogram dan gas petrolem cecair sebanyak 13 tong bersamaan 182 kilogram.
 
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
 
Pasukan serbuan telah menyita minyak masak paket bersubsidi dan 13 tong gas terbabit.
 
Kes disiasat bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu tidak memiliki permit kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had yang ditetapkan.
 
Nilai rampasan bagi kedua-dua kes ini dianggarkan berjumlah lebih RM1,500.
 
Pada masa sama, KPDN mengingatkan semua peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan berjadual terutamanya minyak masak dan gas petroleum cecair bagi kegunaan perniagaan seperti memproses makanan dan sebagainya agar mendapatkan permit kebenaran menyimpan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh KPDN.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE