BUKIT MERTAJAM, 22 Januari- Seorang banduan mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api bagi membantu kegiatan 'ah long' dan dijatuhi hukuman penjara 54 bulan.
Tertuduh, Chow Hon Heng, 31 tahun, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bertindak melakukan khianat dengan api dengan membakar halaman rumah seorang wanita sehingga menyebabkan kerosakan pada harta tersebut.
Tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman di Taman Duku Juru, Bukit Mertajam pada 15 Oktober tahun lalu pukul 4.45 pagi.
Pendakwaan ke atas tertuduh dibuat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 29 November lalu.
Tetuduh memaklumkan kepada mahkamah tidak mampu membayar denda dan akan menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan.