KOTA BHARU, 22 Januari- Mahkamah Majistret Kota Bharu memutuskan prosiding pendakwaan dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. (Emraz Travel) atas 51 pertuduhan kes penipuan pakej umrah melibatkan kerugian RM503,221 ditangguhkan ke 13 Februari depan.
Majistret, Ahmad Shafiq Aizat Nazri membuat keputusan tersebut selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS), Datuk Zulkarnain Endut, dan isterinya, Datin Mazuin Mustafa, yang masing-masing berusia 43 tahun tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana sakit.
Perkara itu dimaklumkan peguam pasangan OKS itu, Ahmad Nizam Mohamed yang mewakili Datuk Hanif Hassan bahawa kedua-dua anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit dan mempunyai sijil sakit yang sah.
Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd. Sophian Zakaria, Suhana Mohd. dan Shafiq Mahadi memohon satu tarikh baharu untuk mendakwa kedua-dua OKS.
Menurut Mohd. Sophian, pihak pendakwaan hanya dimaklumkan mengenai kegagalan kedua-dua OKS yang sakit ke mahkamah pada pagi ini.
Katanya, OKS sepatutnya berdepan 51 pertuduhan penipuan membabitkan ratusan ribu ringgit hari ini selain telah didakwa 63 pertuduhan atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Putrajaya pada minggu lalu.
Disebabkan kes melibatkan kepentingan awam dan mangsa yang ramai, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu dalam tempoh yang singkat untuk mendakwa kedua OKS.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh baharu untuk pendakwaan kesemua pertuduhan yang akan dijalankan secara serentak.
Terdahulu, sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 15 Januari lalu atas 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM589,031 kepada 21 mangsa, tahun lalu.
Datuk Zulkarnain dan Datin Mazuin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.