KUALA LUMPUR, 22 Januari- Sebanyak 494 kes penipuan penyamaran sebagai rakan atau kenalan melibatkan kerugian RM2.5 juta dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mengesan penipuan menyamar sebagai rakan atau kenalan di aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook.
Katanya, meminjam wang merupakan satu daripada modus operandi yang digunakan penjenayah dalam melakukan penipuan.
Berdasarkan siasatan, sindiket tersebut didapati melakukan penggodaman terhadap akaun Telegram atau WhatsApp milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh untuk meminjam wang.
Dalam tempoh 1 Januari hingga semalam, sebanyak 50 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM238,732.
Pemilik sebenar akaun, hanya menyedari perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses atau menerima panggilan daripada kenalan mereka berkaitan kesahihan pinjaman wang ingin dibuat.