fb fb fb fb fb

Polis Perak tahan tiga lelaki curi kabel TM

ACP Mohamad Nasir Ismail menunjukkan barang kes pada sidang media di IPD Taiping

TAIPING, 22 Januari- Polis Perak menahan tiga lelaki selepas disyaki terlibat aktiviti mencuri kabel Telekom Malaysia di kawasan Padang Gajah, Taiping, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, penahanan dilakukan pada pukul 12.20 tengah malam ketika suspek sedang leka melakukan kerja-kerja mencuri kabel di kawasan tersebut.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan berusia 26 dan 27 tahun serta dikenal pasti baru berjinak dalam kegiatan jenayah curi kabel di daerah Taiping.

“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel antaranya, besi ‘T’ pembuka lubang utama, tukul dan pemotong besi serta pemutar skru.

“Modus operandi kumpulan ini menyasarkan kabel bawah tanah milik TM dengan membuka penutup lubang utama (manhole) yang mana suspek akan masuk ke dalam lubang itu untuk memotong kabel lalu kabel itu ditarik ke atas dengan menggunakan kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Kes disiasat bawah Seksyen 431 A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua suspek direman enam hari sehingga 24 Januari bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE