SHAH ALAM, 23 Januari- Dua orang lelaki ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes bergaduhan sekumpulan lelaki di Seksyen 28, sini, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan ke atas kejadian yang turut tular di media sosial itu didapati ia berpunca daripada masalah perhubungan yang dihalang oleh salah seorang suspek.
"Polis telah menerima laporan berkaitan kejadian pada 21 Januari 2024 (Ahad lalu) pukul 6.39 petang daripada mangsa seorang lelaki berusia 19 tahun mengatakan telah diserang sekumpulan enam lelaki yang dikenali semasa berada bersebelahan dengan gelanggang bola keranjang.
"Polis juga menerima laporan daripada pihak suspek pada hari sama, pukul 7.05 malam, turut mendakwa dipukul oleh mangsa sehingga mengalami kecederaan.
"Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa telah menghalang salah seorang suspek untuk meneruskan hubungan dengan kakak saudaranya," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Iqbal berkata, dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan pada pukul 3.36 pagi semalam.
Kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau iaitu kes dadah dan jenayah dengan suspek berusia 25 tahun positif dadah menerusi hasil ujian saringan awal air kencing.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun penjara atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali," katanya.
Tambah beliau, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013-6544996.