TAIPING, 27 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang banduan serta kecederaan beberapa individu lain yang didakwa dipukul oleh warden di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zulkafli Sariaat memaklumkan bahawa sehingga kini, keterangan daripada 82 individu telah dirakam bagi membantu siasatan.
Proses berkenaan akan diteruskan melibatkan lebih ramai banduan dan petugas penjara sebagai saksi.
"Kita sedang mengambil kenyataan daripada semua banduan terlibat serta pegawai penjara dengan berhati-hati dan tidak tergesa-gesa. Kenyataan media secara rasmi belum dikeluarkan sehingga siasatan lengkap dan gambaran sebenar diperoleh," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2025 di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 50 ahli keluarga dan waris berkumpul di hadapan Penjara Taiping hari ini untuk menuntut siasatan serta tindakan pihak berkuasa.
Perhimpunan itu diadakan susulan dakwaan berlaku kekasaran terhadap lebih 100 banduan tahanan yang mengakibatkan seorang daripada mereka meninggal dunia.