fb fb fb fb fb

Polis tunggu arahan TPR berhubung kes ugutan anak menteri

Hamzah Ahmad pada Program Gempur Dadah PDRM Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas hari ini/RTM

KEPALA BATAS, 27 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat TPR dan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Kertas siasatan telah kami serahkan kepada Pejabat Peguam dan kami menunggu arahan seterusnya (daripada Pejabat TPR). Sebarang komen akan dikemukakan kemudian," katanya ringkas.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan kes berkenaan telah lengkap dan kertas siasatan diserahkan untuk tindakan pihak pendakwaan.

Kes tersebut tular di media sosial selepas laporan mendakwa anak menteri terbabit mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku semasa perbincangan antara anak menteri berkenaan, wanita tersebut dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth pada 24 Disember tahun lepas.

Hamzah ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gempur Dadah PDRM Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Hamzah berkata isu penyalahgunaan dadah dipercayai mempunyai kaitan dengan kes jenayah dan aktiviti mat rempit terutama melibatkan golongan remaja.

Jelasnya kebanyakan kes mat rempit berlaku pada waktu lewat malam hingga awal pagi yang memungkinkan penglibatan dengan penyalahgunaan dadah.

"Masalah dadah ini boleh mencetuskan pelbagai isu, termasuk jenayah dan mat rempit. Kita percaya banyak yang terlibat dalam aktiviti mat rempit ini juga mempunyai kaitan dengan masalah dadah, terutamanya apabila mereka berlumba pada waktu awal pagi yang membahayakan," katanya.

Program Gempur Dadah PDRM Pulau Pinang dilaksanakan di peringkat negeri sebelum diperluas ke setiap daerah sebagai langkah proaktif menangani isu penyalahgunaan dadah.

Sepanjang tahun 2024, sebanyak 46 tangkapan berkaitan dadah melibatkan remaja termasuk pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi telah direkodkan bawah pelbagai seksyen undang-undang.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA