fb fb fb fb fb

Syarikat perkakasan dapur jadi mangsa scam siber

Foto Hiasan

TELUK INTAN, 14 Mac – Sebuah syarikat barangan perkakasan dapur di sini mengalami kerugian lebih RM258,000 selepas diperdaya sindiket penipuan atas talian yang menyamar sebagai syarikat pembekal luar negara menerusi pintasan e-mel.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dr. Bakri Zainal berkata laporan berhubung kejadian dibuat oleh pengarah syarikat terbabit, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun, kira-kira pukul 9.41 pagi semalam.

Menurutnya, pada 3 Mac lalu, syarikat mangsa menerima satu e-mel daripada rakan niaganya, sebuah syarikat pembekal luar negara, yang meminta agar tidak membuat sebarang pembayaran kerana akaun bank syarikat tersebut mengalami masalah dan akan menghubungi semula.

“Keesokan harinya, syarikat mangsa menerima satu lagi e-mel yang meminta pembayaran bagi pembelian perkakasan dapur diteruskan, namun dengan nombor akaun kewangan yang baharu.

“Pembayaran dibuat ke akaun Development Bank of Singapore Cawangan Hong Kong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas syarikat pembekal luar negara berkenaan memaklumkan tiada sebarang perubahan maklumat akaun dilakukan, manakala e-mel syarikatnya telah digodam pada 5 Mac lalu.

Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN