fb fb fb fb fb

Sindiket ambil kesempatan waktu berbuka puasa seleweng minyak masak

S. Jegan (tiga kiri) menunjukkan tong drum plastik biru yang disyaki mengandungi minyak masak bersubsidi/RTM

SIMPANG AMPAT, 14 Mac- Sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi di Pulau Pinang dikesan mengambil kesempatan waktu berbuka puasa bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu gagal apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan aktiviti tersebut dalam serbuan di sebuah stor tidak berlesen di sini pada Rabu lalu.

Serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu hasil risikan terhadap sebuah motolori yang mencurigakan.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan menyimpan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan asal serta sejumlah plastik kosong yang telah dipotong.

"Kali ini, modus operandi mereka lebih licik dengan beroperasi ketika waktu berbuka puasa kerana menganggap pihak berkuasa sibuk untuk berbuka. Mereka melakukan pemotongan dan pemindahan segera kerana setelah minyak dipindahkan ke dalam tong, sukar untuk membuktikan bahawa ia adalah minyak bersubsidi," katanya.

Cecair yang disyaki minyak masak bersubsidi turut ditemui dalam tangki IBC dengan anggaran berat 9,500 kilogram (kg) serta tong drum plastik biru seberat 750 kg.

Jumlah keseluruhan minyak masak bersubsidi yang dirampas adalah 2,300 kg dengan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM129,869 termasuk 11 unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter, lima unit tong drum plastik biru, serta pelbagai peralatan seperti pisau lipat, motor pam, hos dan bakul plastik.

Turut ditemui dokumen berupa resit bil elektrik atas nama seorang individu yang dirampas bagi membantu siasatan.

S. Jegan berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

SITI AISHAH MD ISA