TAWAU, 14 Mac - Tertuduh keempat dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan atau Ijat hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia melibas wayar pengecas telefon ke arah mangsa ketika berada di bilik asrama 7 Resak.
Bagaimanapun, saksi pembelaan ke-11 itu semasa pemeriksaan balas peguam Abdul Ghani Zelika memberitahu wayar itu tidak mengenai mangsa sebaliknya terkena tangan tertuduh kelima.
Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, tertuduh keempat itu juga menafikan ada membelasah Mohamad Nazmie Aizzat namun mengakui menolak belakang mangsa sewaktu berada di bilik asrama 5 Belian.
Abdul Ghani: Kamu marah atas dasar apa?
Tertuduh keempat: Ijat mencuri duit saya.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, tertuduh keempat itu memberitahu mahkamah bahawa duitnya yang hilang berjumlah RM35 serta mengakui telah menerima RM37, melebihi daripada jumlah wang yang hilang.
Nur Nisla: Setuju atau tidak, pada masa itu kamu gembira sebab duit kamu yang hilang dah cukup jumlahnya, malahan berlebih lagi.
Tertuduh keempat: Setuju.
Tertuduh keempat itu juga bersetuju dengan cadangan Nur Nisla bahawa dia tidak melihat mangsa mencuri duitnya.
Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lepas.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan bersambung 14 hingga 17 April ini. - BERNAMA