fb fb fb fb fb

Ismail Sabri selesai beri keterangan, dipanggil semula SPRM petang ini

Kenderaan membawa Ismail Sabri keluar dari bangunan Ibu Pejabat SPRM tengah hari tadi/RTM

PUTRAJAYA, 14 Mac- Bekas Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi keterangan selama hampir empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebelum dilihat keluar dari bangunan tersebut pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, sumber SPRM memaklumkan sesi keterangan beliau akan bersambung semula pada pukul 3.30 petang.

Terdahulu, beliau hadir bagi meneruskan sesi keterangan kali ketiga berhubung siasatan kes rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM177 juta.

SPRM sebelum ini merampas pelbagai wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM177 juta.

Rampasan itu dilakukan dalam tiga siri serbuan di tiga premis termasuk sebuah kondominium yang dipercayai dijadikan 'safehouse'.

Siasatan terhadap Ahli Parlimen Bera itu berkaitan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi promosi program Keluarga Malaysia yang bernilai RM700 juta di bawah pentadbirannya.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam sidang media khas minggu lalu yang turut mengesahkan Ismail Sabri kini dikategorikan sebagai suspek dalam kes berkenaan.

SITI AISHAH MD ISA