KOTA BHARU, 13 April- Sebuah anak syarikat konglomerat kejuruteraan pembinaan dari China didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri bekalan air terawat milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada 2019.
Hakim Zulkifli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat terbabit yang diwakili oleh pengurus projeknya, Yang Chuangang, selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan melakukan sambungan haram ke sesalur utama awam tanpa kebenaran AKSB di tapak pembinaan sebuah kondominium 36 tingkat di Seksyen 12, Kota Bharu pada 11 September 2019.
Pemeriksaan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati sambungan itu digunakan bagi kerja pembinaan sejak Mac 2017.
Antara barangan yang dirampas dalam operasi SPAN termasuk simpai logam, paip poli dan pili air putih yang disambungkan secara tidak sah.
Jumlah kos air tidak berhasil yang digunakan syarikat terbabit dianggarkan sebanyak RM42,690.
Syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan dihukum bawah Seksyen 123(3) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Mohd Suhairy Zakaria dan Pegawai Pendakwa Thilaga Shanmugam daripada SPAN.
Pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan dilakukan syarikat itu serius. Ini kerana syarikat berkenaan membuat penyambungan tanpa lesen untuk tujuan komersial dan kepentingan mereka sendiri sedangkan nilai projek pembinaan sebanyak RM89 juta.
Bagaimanapun, pihak syarikat merayu hukuman minimum atas alasan kesalahan pertama dan berjanji tidak mengulanginya.