KUCHING, 13 April- Polis kini memburu lima lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam serangan bersenjata terhadap dua lelaki di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Kuching-Serian, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Penguasa Polis (SUPT) Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kedua-dua mangsa berusia 30 dan 54 tahun itu diserang sekitar pukul 9 pagi oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.
Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.
“Kes kini disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah semasa melakukan samun,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan turut dikenakan hukuman sebatan.