SEPANG, 12 April- Tiga lelaki warga tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mencuri kabel perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit, di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil, Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman dalam kenyataan berkata tangkapan dibuat pihaknya serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, awal pagi tadi.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 50 tahun itu mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.
"Dengan tangkapan ini, pihak polis dapat menyelesaikan tiga kes kecurian kabel tren Express Rail Link (ERL) yang berlaku dalam daerah Sepang," kata kenyataan itu.
Pihaknya kini giat mengesan dua lagi suspek yang disyaki terlibat dengan kumpulan berkenaan.
"Barang kes (kabel yang dicuri) masih belum didapatkan semula dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan," tambah Norhizam.
Rabu lepas, perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan berpunca daripada beberapa siri kecurian kabel, masing-masing dua di laluan ERL antara Stesen Salak Tinggi dengan Stesen Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan antara Stesen Putrajaya dan Cyberjaya dengan Stesen Salak Tinggi.