BUKIT MERTAJAM, 12 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan rampasan 126 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) di sebuah premis, di sini.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran yang berlaku di premis berkenaan.
“Rampasan melibatkan tong gas LPG bersaiz 14 kilogram (kg) dan 12 kg, dengan keseluruhan nilai dianggarkan berjumlah RM10,923.60,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semua barangan disita bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disimpan di premis yang tidak dilesenkan.
Tambah S Jegan, KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu bekalan bersubsidi ini,” tegas beliau.