fb fb fb fb fb

Kereta Yusoff Rawther berkunci, tidak diakses orang lain - Pegawai Penyiasat

Muhammed Yusoff Rawther/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 April - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, diberitahu bahawa kereta milik Muhammed Yusoff Rawther berada dalam keadaan berkunci semasa polis membuat serbuan dan memeriksa kenderaan itu sebelum menjumpai dua pucuk pistol tiruan dan dadah, tahun lepas.

Pegawai penyiasat Inspektor Aiman Mohd Suhaimi, 32, dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berkata oleh itu, kereta Nissan Teana itu yang diparkir di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Bukit Kiara di sini tidak diakses oleh individu lain.

"Cubaan membuka pintu tidak akan berlaku. Dapatan pihak polis selepas siasatan dijalankan, tiada kerosakan berlaku pada kenderaan itu dan kereta juga berada dalam keadaan berkunci hingga serbuan dijalankan (9.25 pagi, 6 Sept 2024)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan dalam perbicaraan membabitkan Muhammed Yusoff yang juga bekas pembantu penyelidik kepada ahli politik yang berdepan pertuduhan mengedar dadah dan pemilikan senjata tiruan.

Saksi pendakwaan ke-12 itu turut bersetuju dengan pendakwaan bahawa tiada keterangan menunjukkan terdapat peralatan elektronik digunakan individu lain untuk membuka pintu kereta berwarna biru gelap dengan nombor plat PMH 6391 itu, dan meletak 'barang salah' di dalamnya.

Menurut Aiman, tertuduh dalam rakaman percakapannya menyatakan dia mempunyai kesukaran untuk membuka pintu kereta walaupun berkali-kali menekan alat kawalan jauh kenderaan tersebut semasa serbuan dilakukan.

Sementara itu, saksi turut mengesahkan bahawa pemeriksaan cap jari tidak dilakukan pada pistol tiruan yang dijumpai dalam kenderaan berkenaan.

Beliau berkata biasanya bagi kes penemuan senjata api atau tiruan, barang kes berkenaan perlu diperiksa menggunakan teknik finger dusting oleh pegawai forensik.

"Namun, hasil semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kereta terbabit didaftarkan atas nama Muhammed Yusoff.

“Memandangkan barang kes yang menyalahi undang-undang ditemukan dalam kereta jenis Nissan Teana milik tertuduh, malah suspek yang ditangkap adalah orang sama, maka proses pengesanan cap jari tidak perlu dilakukan,” katanya semasa disoal Mohd Sabri Othman.

Menjawab soalan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, pegawai polis itu turut mengesahkan pemeriksaan sama tidak dilakukan pada keempat-empat tombol pintu kereta berkenaan.

Saksi juga bersetuju dengan peguam bahawa permukaan rata pada barang kes termasuk senjata itu akan memudahkan proses pemeriksaan sekiranya ia dilakukan sejurus serbuan dilakukan.

Muhammad Rafique: Saya cadangkan jika finger dusting dijalankan pada dua pistol tiruan itu, besar kemungkinan inspektor tidak akan menemukan cap jari Muhammed Yusoff, setuju?

Aiman: Tidak setuju.

Muhammad Rafique: Tapi tuan tidak buat pemeriksaan cap jari itukan dan saksi menjawab, Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 28 April ini.

Muhammed Yusoff didakwa mengedar 305 gram dadah jenis kanabis di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Beliau turut didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada hari sama, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN